Melayu Melaka dipengaruhi PKMM

Wednesday, January 28, 2009 | | | |

2.7 Parti Kebangsaan Melayu Malaya mempengaruhi KMM - 1946

Kesatuan Melayu Melaka - Post Ke 6 -

Ketika KMM dalam proses membangun semula datang seorang wakil dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dari Ipoh Perak, Raja Othman Bin Raja Ngah mempelawa KMM menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Beliau telah menerangkan dasar-dasar PKMM dan berharap KMM dapat bersama dengan mereka. PKMM berharap dapat kerjasama dari KMM untuk mereka bertapak di Melaka kerana mereka nampak bahawa Melaka mempunyai potensi sebagai kubu parti kiri yang kuat. Ini adalah kerana Melaka tidak bersultan.

Pemimpin KMM tidak menerima pelawaan itu secara terburu-buru. Sebaliknya KMM telah menghantar Hj Talib Karim menyertai Kongres PKMM I di Ipoh . Tujuannya ialah untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang perjuangan PKMM. Melalui pengalaman yang lama di Indonesia, dan berkawan rapat dengan anggota Parti Komunis Indonesia (PKI), beliau dapati perjuangan PKMM sangat condong kepada komunisma. Gerakgeri mereka dan perjuangan mereka tidak ubah seperti Parti Komunis Indonesia. Semasa di Ipoh beliau dapati anggotanya memakai baju dengan memasukkan bahagian belakangnya dan mengeluarkan bahagian hadapannya. Ini adalah salah satu perlakuan anggota PKI. Gerak geri Mokhtaruddin Lasso tidak ada bezanya dengan pemimpin-peminpin Parti Komunis Indonesia.

Sebagai seorang yang berpendidikan agama Tuan Hj Talib tidak sedikit pun tertarik dengan perjuangan PKMM itu. Segala apa yang beliau lihat di Ipoh meyakinkan beliau bahawa PKMM mudah diresapi oleh ideologi komunis. Bagi Hj Talib PKMM bukan bermaksud Parti Kebangsaan Melayu Malaya sebaliknya Parti KOMUNIS Melayu Malaya.

Sekembalinya dari Ipoh beliau telah membuat satu laporan lengkap mengenai PKMM. Laporan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatan Kuasa KMM dan majlis sebulat suara menolak PKMM. KMM kini bergerak mengikut landasanya sendiri. Pengaruhnya sangat kuat di Alor Gajah dan Melaka tengah . Golongan yang terpengaruh terdiri dari golongan yang ‘moderate’ perjuangannya.

Disamping itu, PKMM yang gagal mempengaruhi KMM terus mengembangkan pengaruhnya di Melaka dengan menpengaruhi golongan-golongan radikal. Mereka ini adalah terdiri darui guru-guru yang baru keluar dari Sultan Indris Training College (SITC) Tanjung Malim serta pemuda-pemuda yang radikal sifatnya.

0 comments:

Post a Comment